Oleh: DR NORSIAH ALI.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga ( Pengkhususan: Perubatan Ketagihan)

Presiden Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA)

Ahli Majlis Persatuan Perubatan Ketagihan Malaysia (AMAM)

 

Semenjak akhir-akhir ini pelbagai reaksi ditunjukkan tentang tren penggunaan vape di negara ini. Amat merisaukan apabila menerima what apps gambar kanak-kanak, remaja dan wanita yang sedang menggunakan vape. Mereka kelihatan begitu seronok mengikuti tren terkini dan berkongsi rasa bangga mereka di media sosial tanpa menyedari implikasinya. Sekali pandang, perlakuan menyedut vape mencalar mata yang memandang kerana kelihatan sumbang dari aspek budaya.

Vape mula dipelopori di Negara China semenjak tahun 2003. Tujuan asal orang yang mencipta vape adalah untuk menggunakan kaedah merokok yang jauh lebih selamat dari rokok biasa. Rokok biasa memang telah diketahui mengandungi sekitar 4000 bahan kimia beracun yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit berbanding vape yang disifatkan oleh penggunanya sebagai jauh lebih selamat. Cecair vape juga pada asalnya didakwa selamat dan bebas dari nikotin. Namun, dewasa ini terdapat cecair vape yang mengandungi bahan dadah nikotin tulin. Isi kandungan sebenar setiap botol cecair vape juga diragui kerana tiada label kandungan bahan yang mengikuti piawai apatah lagi wujud keraguan tentang pencampuran bahan-bahan yang tidak diketahui apabila tiada peraturan pengilangan yang sewajarnya.

Penggunaan vape di Malaysia mula dirasai semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Baru-baru ini wujud pelbagai reaksi apabila kerajaan mengambil keputusan untuk tidak mengharamkan penggunaan vape. Persoalannya, adakah vape benar-benar selamat kepada penggunanya dan alam sekitar termasuklah orang-orang yang tidak menggunakan vape? Setakat yang diketahui cecair vape mengandungi perisa tertentu seperti vanilla, strawberi, mangga dan mint yang turut boleh menarik perhatian kanak-kanak. Cecair vape juga didapati ada yang mengandungi nikotin dan beberapa bahan seperti prophylene glycol yang apabila dibakar bertukar menjadi formaldehyde, sejenis bahan kimia penyebab kanser. Begitu juga dengan bahan-bahan logam dari kaedah pembakaran alat vape yang turut boleh mendatangkan kesat mudarat. Ada juga kejadian letupan dan kebakaran kecil kerana alat ini. Turut merisaukan apabila alat vape ini turut boleh digunakan untuk mengambil bahan dadah terlarang seperti heroin dan syabu.

Di samping dibeli di kedai-kedai, cecair vape juga boleh diperolehi secara dalam talian dan dipos kepada pembeli. Pembeli boleh jadi terdiri dari remaja yang masih bersekolah kerana terpengaruh dan ingin mencuba pelbagai perisa tren baru yang melanda ini. Walaupun harganya ratusan ringgit, remaja sanggup mengikat perut mengumpul duit untuk membeli vape. Lebih membimbangkan lagi, baru-baru ini ada laporan yang menyatakan cecair vape mengandungi sekurang-kurangnya mengandungi 12 bahan kimia beracun termasuklah bahan ganja semulajadi iaitu cannabinoid dan canabidiol serta ganja sintetik jenis dronabinol (Kosmo 17 November 2015). Perkembangan ini amatlah merbahayakan remaja yang diharapkan akan menjadi tonggak negara di masa hadapan.

Menurut Pusat Racun Negara, 1 ml cecair vape bernikotin mengandungi 4 mg nikotin dan sebotol kecil 25ml mengandungi 100mg nikotin tulin. Sekiranya terminum oleh kanak-kanak, 6-10 mg (1.5-2.5ml) boleh membunuh manakala dos yang boleh membawa maut untuk orang dewasa adalah sebanyak 40-60mg (10-15ml). Pada tahun 2014, sebanyak 3000 kes keracunan kerana cecair vape dilaporkan di Amerika Syarikat dengan 1 kematian kanak-kanak. Nikotin dalam cecair vape boleh menyebabkan ketagihan dan meningkatkan statistik perokok di negara ini. Menurut Global Adult Tobacco Survey 2015, 22.8% ( 5 Juta) rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok. Dari segi jantina, 43% lelaki dan 1.4% wanita di Malaysia merokok. Rokok telah dikenalpasti sebagai pintu masuk (gateway) kepada pengambilan bahan-bahan lain seperti alkohol, ganja dan dadah-dadah lain.

Nikotin mendatangkan kesan yang buruk terutamanya kepada kesihatan. Ketagihan nikotin menyebabkan perokok mengalami gangguan perasaan semasa paras nikotin dalam darah berkurangan (sindrom tarikan atau gian) yang kebiasaannya berlaku 2 jam setelah merokok. Perokok boleh berasa resah gelisah, tidak boleh memberikan tumpuan, berasa lesu, mengantuk serta mudah marah. Pada jangkamasa yang panjang, nikotin menyebabkan pelbagai jenis kanser, penyakit paru-paru kronik, gastritis, pengerasan salur darah (artherosclerosis) yang menyumbang kepada penyakit sistem kardiovaskular seperti penyakit darah tinggi dan penyakit jantung. Nikotin juga boleh menyebabkan pembekuan darah yang boleh menyumbat salur darah justeru mendatangkan gejala seperti strok pada otak dan kehitaman pada jari kerana tidak mendapat bekalan darah yang berkesudahan dengan perlu pemotongan jari tersebut (dry gangrene). Tahap kesuburan sistem reproduktif juga boleh terjejas iaitu pengurangan bilangan benih lelaki (sperma). Nikotin boleh mendatangkan kesan mudarat kepada wanita hamil. Ia boleh menyebabkan keguguran, terencat tumbesaran janin dan kematian bayi dalam kandungan. Kesan buruk ini bukan sahaja boleh dialami oleh perokok dan orang yang tidak merokok namun terdedah dengan asap rokok.

Kebarangkalian untuk mendapat kanser kerana merokok dan terdedah kepada asap rokok adalah 20X ganda lebih tinggi berbanding orang yang tidak merokok. Begitu juga dengan risiko mendapat penyakit paru-paru kronik dan penyakit kardiovaskular yang 3X ganda lebih tinggi di kalangan perokok dan orang yang terdedah dengan asap rokok.

Isu kebergantungan (ketagihan) kepada dadah nikotin dalam rokoklah yang menjadi punca utama berlakunya perbezaan pendapat mengenai penggunaan vape di negara ini disamping pengaruh pihak yang berkepentingan dalam industri ini. Isu rokok telah lama wujud semenjak sebelum negara merdeka lagi. Isu menghisap rokok dipandang remeh oleh sesetengah pihak malah ada yang berasa marah dan menafikan rasa kebergantungan terhadap dadah nikotin. Ada juga yang memperlekehkan dan mempersendakan usaha-usaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rokok.

Fenomena ini mungkin berlaku kerana perokok tidak mampu untuk berhenti kerana kebergantungan yang kuat. Merokok pada suatu ketika dahulu tidak dianggap sesuatu yang salah disisi agama & kesihatan malahan mudah didapati. Ada juga segelintir yang kelihatan tidak terjejas kesihatannya walaupun merokok. Di samping itu, kesan buruk merokok tidak begitu ketara di peringkat awal penggunaannya. Namun, reaksi menidakkan fakta dan memberi pelbagai alasan sebenarnya adalah salah satu sifat utama orang yang mengalami kebergantungan dadah nikotin (denial). Kebergantungan kepada bahan-bahan dadah adalah sejenis penyakit yang memberi pengaruh yang mendalam kepada sistem saraf pusat otak manusia. Bahagian otak yang mendapat kesan utama bahan-bahan ini adalah sistem mesolimbik yang melibatkan pusat seronok ( reward center) seperti rajah 1.

brainRajah 1: Ilustrasi keratan rentas system mesolimbik otak manusia dirangsang oleh bahan-bahan yang mendatangkan ketagihan.

Sumber: The addicted brain. Scientific American 2004.

Bahan-bahan seperti nikotin, alkohol, heroin dan amphetamine merangsang pengeluaran beberapa jenis hormon terutamanya hormon dopamin. Hormon dopamin mendatangkan rasa keselesaan dan kesejahteraan di dalam badan manusia. Namun apabila paras hormon ini dirangsang penghasilannya dengan lebih banyak oleh bahan bahan lain, kesan keselesaan dirasai sangat kuat dan mengujakan (‘high’). Sel saraf otak mengenalpasti fenomena ini dan mempunyai memori yang sangat kuat terhadap kesan seronok dan selesa yang dirasai akibat pengambilan bahan bahan ini (positif reinforcing effect). Apabila paras bahan bahan ini menjadi separuh dari paras yang mendatangkan kesan keterujaan dan keselesaan, pengguna yang telah bergantung akan merasai kesan yang sebaliknya iaitu sangat tidak selesa, kusut fikiran, sakit kepada, sukar member penumpuan dan mudah rasa marah. Fenomena ini dipanggil sebagai sindrom tarikan atau gian (withdrawal syndrome).

Kebiasaannya merokok bermula di zaman remaja kerana sifat remaja seperti naluri ingin mencuba, pengaruh rakan sebaya dan kurang keupayaan menyelesaikan masalah dan mengadaptasi dengan suasana. Namun, haruslah difahami sel saraf otak remaja hanyalah sempurna pembentukannya ketika berumur lingkungan 20 tahun. Bahagian otak depan ( frontal lobe) yang membantu berfikir secara waras dan matang adalah bahagiaan yang paling lambat terbentuk dengan sempurna.Tindakan remaja adalah berdasarkan kawalan pemikiran yang belum cukup matang. Justeru, mereka perlu diselia dan dibimbing oleh orang dewasa dengan sebaiknya.

Pendedahan kepada bahan-bahan yang mendatangkan rasa teruja dan keseronokan terutamanya sewaktu zaman remaja boleh mendatangkan kesan yang serius. Ini kerana otak remaja mengalami fasa kritikal yang dipanggil proses pencantasan (pruning process). Melalui fenomena ini, pengaruh kepada sel otak yang sedang berkembang yang biasa diterima semasa remaja adalah amat kuat dan mendatangkan kesan yang berpanjangan sehingga dewasa. Bilangan tapak penerima tindakan hormon (receptor) pada sel otak orang yang menggunakan bahan-bahan ini menjadi lebih banyak berbanding dengan orang yang tidak terjebak dengan nikotin, alkohol dan bahan-bahan dadah yang lain ( Rujuk Rajah 2). Tanpa pengambilan bahan-bahan ini secukupnya, wujud kekosongan pada tapak penerima tindakan hormon yang mendatangkan rasa keinginan yang amat sangat (strong craving).

Rajah 2a & 2b : Gambar electron micrograph perbezaan rupa sel-sel otak antara orang yang mengambil bahan yang mendatangkan ketagihan seperti nikotin berbanding sebaliknya

 

rajah 2aRajah 2a: Sel otak yang tidak terdedah               rajah 2bRajah 2b: Sel otak yang terdedah

dengan kesan bahan ketagihan                          kepada bahan ketagihan

Sumber: The addicted brain. Scientific American 2004.

 

Sel-sel neuron dalam rajah 2b kelihatan lebih tebal kerana mempunyai tapak penerima tindakan hormon (nicotin receptor yang telah terbentuk dengan lebih banyak dari biasa). Perubahan struktur ini adalah kekal. Inilah penjelasan kenapa pengguna bahan yang mendatangkan ketagihan mengalami kesukaran yang amat sangat untuk berhenti.

Pengalaman melalui rasa ketidakselesaan yang bukan calang-calang atau gian (withdrawal syndrome) dan keinginan yang amat sangat (strong craving) menyebabkan pengguna tetap mengambil bahan bahan tersebut walau mengetahui bahaya dan gejalanya malah meningkatkan dos penggunaan bagi mendapatkan kesan yang sama kerana fenomena lali (toleran). Malah rata-rata merasionalkan tabiat mereka. Akibatnya sebahagian besar kehidupan dihabiskan dengan aktiviti berkaitan mendapatkan bahan tersebut (seperti nikotin, alkohol dan heroin), mengambil / menikmatinya dan pengambilan yang berterusan bagi mengelakkan fenomena gian. Pada tahap ini, mereka telah mengalami fenomena ketagihan terhadap bahan yang digunakan. Rata-rata pengguna dadah tegar mempunyai sejarah penagihan yang bermula dengan merokok.

Penyakit ketagihan kepada bahan seperti nikotin amatlah menyeksakan. Pengguna akan berulang-ulang terganggu kerana keinginan yang amat dalam untuk merokok semula bagi memenuhi tapak-tapak penerima tindakan hormone di otak (receptor). Akibatnya pengguna yang telah bergantung akan memberikan pelbagai alasan serta penjelasan bagi menidakkan keadaan sebenar mereka. Kebergantungan adalah sejenis penyakit yang perlu dirawat menggunakan pendekatan pelbagai sudut seperti ubatan, psikologi, sosial dan kerohanian (biopsychosocial & spiritual). Mereka memerlukan sokong bantu yang berpanjangan kerana penyakit ketagihan menghantui hidup mereka di sepanjang hayat. Risiko untuk jatuh semula kepada mengulangi tabiat lama amatlah tinggi malah merupakan salah satu sifat penyakit kebergantungan ini. Dalam konteks nikotin, 80% pesakit ketagihan nikotin merokok semula dalam temboh sebulan setelah berhenti seketika. Ini adalah fenomena biasa dalam masalah ketagihan bahan dan tidak harus dijadikan sebab untuk tidak mencuba semula untuk berhenti sekali lagi. Ada di kalangan pesakit yang telah bergantung hanya akhirnya berjaya berhenti setelah beberapa kali mencuba.

Oleh itu, rawatan perubatan yang menyeluruh perlu diberikan untuk membantu pesakit berhenti yang melibatkan aspek penilaian terperinci, rawatan tanpa ubatan menggunakan strategi menangani rasa ingin merokok seperti petua 10M (Rajah 3), strategi mengenalpasti halangan untuk berhenti merokok dan kaedah menanganinya serta strategi mengekalkan status tidak merokok. Bagi perokok yang berada ditahap ketagihan sederhana atau kuat, rawatan ubatan boleh membantu untuk menangani rasa gian ingin merokok. Contoh rawatan ubat adalah seperti ubat verenicline tartrate, bupropion dan persediaan nikotin pada dos tertentu dalam chewing gum, lozenges, tampalan (patch) dan sedutan (inhaler). Perokok perlu menjalani sesi sokong bantu serta rawatan susulan dalam tempoh yang lama. Berhenti merokok didefinasikan sebagai tidak lagi mengambil bahan –bahan yang mengandungi nikotin selama sekurang-kurangnya 6 bulan.

Definasi berjaya berhenti dari rokok adalah bebas dari pengambilan nikotin selama sekurang-kurangnya 6 bulan. Bertukar kaedah pengambilan nikotin dari merokok kepada menggunakan vape bagi mengatasi fenomena gian bukanlah telah berjaya berhenti merokok sepenuhnya.

 

Rajah 3: Petua 10 M

Mengunyah sesuatu

Membasuh muka

Melengahkan

Menarik nafas dalam-dalam

Mandi

Mengelak pergi ke tempat orang merokok

Mengelak pelawaan perokok percuma

Memohon doa

 

Banyak faedah yang diperolehi setelah berhenti merokok. Antaranya risiko penyakit akan berkurangan. Tapak penerima tindakan hormon dopamin di otak seperti dalam rajah 2b juga akan turut berkurangan. Malah setelah 15 tahun berhenti merokok, risiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular menjadi sama seperti orang yang tidak pernah merokok.

Berbalik kepada persoalan wajarkah vape berada di pasaran?

Jika dikaji secara mendalam, lebih banyak kesan buruk berbanding faedah penggunaan vape. Jikalau cecair vape benar-benar dipastikan bebas dari nikotin, tren meniru cara merokok dan menghembus asap berkepul-kepul dari mulut dan hidung boleh mendatangkan sumbang di mata yang melihat terutama apabila digunakan oleh kanak-kanak, remaja dan wanita di negara ini yang masih menitik beratkan nilai-nilai ketimuran. Terdapat kajian yang mendapati vape berperisa yang tidak mengandungi nikotin juga boleh menyebabkan kesan radang dan kerosakan (cytotoxicity) terhadap tisu paru-paru yang diuji di makmal. Fenomena yang amat menakutkan adalah kebarangkalian penggunaan dadah terlarang melalui penggunaan peranti vape tanpa mudah dikesan oleh pihak berkuasa perundangan di samping risiko peningkatan bilangan yang akan mengalami penyakit ketagihan nikotin terutama di kalangan kanak-kanak, remaja dan wanita.

Walaupun vape dijadikan kaedah alternatif untuk menghentikan penggunaan rokok biasa, terdapat pendekatan lain yang jauh lebih selamat seperti yang telah dinyatakan. Setakat ini tiada bukti saintifik yang vape boleh menbantu perokok berhenti merokok (Christopher Bullen, The Lancet 2013).

Impak vape untuk jangka masa panjang kepada penggunanya serta masyarakat sekeliling yang terdedah kepada bahaya yang sama dijangkakan boleh mengundang kepada kos yang tinggi untuk merawat penyakit dan secafa tidak langsung akan menambah beban kewangan negara. Kemungkinan kecederaan sel saraf otak yang berpanjangan akibat terdedah kepada bahan racun tidak boleh dipandang remeh. Generasi muda haruslah dilindungi agar mereka membesar secara sihat mental dan fizikal.

Promosi kaedah selamat untuk berhenti merokok perlu ditingkatkan. Pendekatan yang digunakan hendaklah boleh menarik perhatian pesakit yang telah bergantung untuk tampil mendapatkan bantuan. Kaedah tanpa rawatan ubat sahaja tidak terpakai untuk semua pesakit. Setiap orang mempunyai tahap kesediaan untuk berubah dan pengalaman yang berbeza. Justeru pusat-pusat rawatan perkhidmatan berhenti merokok perlu dipertingkatkan dari segi bilangan dan kemudahan yang diberikan. Ini kerana sebenarnya rata-rata perokok ingin berhenti dari belenggu penyakit ketagihan ini.

Perokok yang mengalami ketagihan nikotin tidak harus berasa terseksa untuk berhenti merokok. Dengan bantuan ahli profesional seperti doktor, ahli farmasi di klinik-klinik, hospital dan farmasi komuniti, perokok boleh melalui rawatan pemulihan dalam keadaan mental dan fizikal yang selesa, tidak terganggu serta mampu berfikiran positif bagi mencapai matlamat untuk hidup lebih sihat. Kejayaan berhenti merokok mungkin tidak dicapai dengan sekali cubaan. Ada yang mungkin berjaya setelah mencuba berkali-kali. Pengalaman kegagalan untuk berhenti merokok di masa lalu haruslah dijadikan panduan untuk lebih berjaya dalam cubaan berhenti merokok yang seterusnya.

Malaysia telah dikenalpasti sebagai pengeluar vape ke dua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. Amat merisaukan apabila Amerika Syarikat juga sekarang merekodkan peningkatan penemuan pengambilan dadah terlarang melalui penggunaan vape. Pada tahun 2006, kilang pemprosesan dadah syabu yang terbesar di dunia telah ditemui di Lunas , Kedah. Hasrat negara untuk bebas dari ancaman dadah pada tahun 2015 juga tidak kesampaian. Dari segi hukum agama Islam sebagai agama rasmi negara, rokok dan vape adalah jelas haram dari segi fatwa. Kesan baik vape masih diragukan manakala kesan sosial, kesan kesihatan dan impak negatif terhadap ekonomi negara di masa akan datang akibat dari tren baru ini amatlah ketara.

Fenomena penggunaan vape adalah bertentangan dengan dasar dan polisi Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dari sebarang bentuk amalan merokok. Ia juga tidak selari dengan perjanjian WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) yang telah ditandatangani oleh Malaysia semenjak tahun 2005.

Negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Thailand telah mengharamkan vape atas faktor keselamatan dan kesihatan. Justeru, adalah diharapkan status penggunaan vape di negara ini perlu dikaji semula. Tren baru ini haruslah dibendung dengan cepat dan sebaiknya. Perokok perlu dibantu dengan kaedah yang selamat untuk menangani penyakit ketagihan yang sukar namun boleh diubati.

Share and Enjoy:
  • Facebook
  • Google
  • E-mail this story to a friend!
  • MySpace
  • Print this article!
  • YahooMyWeb
  • Furl